Kedah lahirkan ramai karyawan negara

Wartawan Sinar Harian
5 Januari 2013
ALOR SETAR - Kedah antara negeri yang berjaya melahirkan golongan karyawan terkenal negara khususnya dalam bidang kesusasteraan moden tanah air seperti iaitu novel, cerpen, puisi, teater dan kritikan.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan berkata, antara tokoh karyawan ternama kelahiran Kedah adalah Sasterawan Negara (SN) Abdullah Hussain, SN Shahnon Ahmad, Tan Sri Dr Ismail Hussein, Datuk Abdul Halim R, Kassim Ahmad, Mohd Yusof Hasan, Rosmiaty Shaari dan Shaari Isa.

“Ada antara mereka yang telah kembali ke rahmaullah antaranya seperti Affrini Adham, Azizi  Abdullah, Hashim Yasin, Jihaty Abadi, TS Mohd Zahir Ismail.

“Namun, tradisi kecemerlangan bidang ini tetap diteruskan oleh para penulis yang menganggotai badan penulis Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (Asasi), manakala sebahagian daripadanya aktif berkarya dalam portal sastera maya, e-Sastera,” katanya dalam Malam Puisi Puzi Hadi, di Auditorium Kompleks Budaya Negeri, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kedah (JKKNK), baru-baru ini.

Dalam majlis berkenaan, penyair Puzi Hadi memukau penonton dengan persembahan bacaan puisinya iaitu, Bujang, ‘Paleoalam Sungai Batu’, ‘Stop’, ‘Lokomotif’, ‘(B)-Sepak’, Si-Musi-Mu, Sungai’, dan ‘Dot Dot Dot’.

Kehebatan Puzi Hadi sememangnya dikagumi dalam menghasilkan setiap karyanya yang mana penghayatan perlu ada dalam diri setiap masyarakat agar dapat menyelami maksud, mesej dan pengajaran setiap bait-bait ayat yang digunakannya.

Puzi Hadi, berkata, walaupun sudah lama bertapak dalam industri, iaitu sejak tahun 1970an, namun perasaan cintanya pada bidang kesusasteraan masih tersemat kukuh di hati, ia terbukti dengan penglibatan aktif dirinya dalam mendeklamasikan karya hingga kini.

Antara yang turut serta mendeklamasikan sajak adalah, Rejab FI (Perlis), Ahkarim, Dahna dan Ruhie Isma (Kedah), Ibnu Din Assingkiri (Pulau Pinang) dan Malim Ghozali PK (Perak).

Posting Komentar