
Datuk Bandar KL, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib (tiga,kanan) bergotong-royong melapah daging lembu dikorbankan di perkarangan Masjd Negara.

Sebahagian orang ramai yang menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Putra, kelmarin.
KUALA LUMPUR - Cuaca mendung dan hujan renyai di beberapa tempat di seluruh negara pada sebelah pagi Selasa lalu, tidak menghalang umat Islam untuk beramai-ramai menunaikan solat sunat Aidiladha sebelum melakukan ibadah korban.
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah menyertai kira-kira 15,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negara di sini.
Selesai menunaikan solat, Seri Paduka berdua berkenan beramah mesra dengan jemaah yang tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengan baginda berdua sebaik selesai khutbah Aidiladha.
Di PUTRAJAYA, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Putra.
Turut sama menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid itu ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Mereka bersama lebih 5,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Putra, Abdul Manaf Mat.
Majlis korban Perdana Putrajaya diadakan dengan 46 ekor lembu dikorbankan sebelum daging korban diagihkan Menteri Wilayah Persekutuan yang juga AnggotaParlimen Putrajaya, Datuk Seri Adnan Tengku Mansor kepada warga Putrajaya.
Di SHAH ALAM, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negeri bersama kira-kira 10,000 anggota jemaah termasuk Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Sebanyak 39 ekor lembu dikorbankan di perkarangan masjid negeri itu termasuk dua ekor sumbangan Sultan Selangor.
Di PERLIS, hujan di beberapa kawasan pada sebelah pagi di negeri itu tidak menghalang penduduknya menunaikan solat sunat Aidiladha.
Kerajaan negeri Perlis menyumbang 140 ekor lembu sempena Aidiladha tahun ini kepada wakil-wakil penduduk, jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan untuk korban.
Di PULAU PINANG, hujan lebat tidak menghalang kira-kira 1,000 jemaah untuk menunaikan solat sunat Aidiladha bersama Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff di Masjid Negeri dengan diimamkan oleh Timbalan Imam Besar, Sya’bani Awang.
Khutbah disampaikan Imam Besar Sallahuddin Ghazali.
Sementara itu Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan, hujan diramal berlaku di Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor pada pagi Aidiladha manakala Perak, Perlis, Putrajaya dan Kuala Lumpur pula diramalkan mendung.
Di KEDAH, Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah menyertai ribuan umat Islam termasuk Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Zahir, Alor Setar.
Hujan dilaporkan berlaku di beberapa tempat pada sebelah pagi di negeri itu.
Di TAWAU, Sabah pula majlis korban yang dijadualkan berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, terpaksa ditangguhkan pada keesokkan harinya berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah ketika dihubungi Bernama berkata upacara korban sepatutnya dilaksanakan selepas solat sunat Aidiladha di perkarangan IPD secara bergotong-royong tetapi ditangguh kerana hujan lebat.
Posting Komentar