Remaja Lakukan Sumbang Mahram Dengan Kakak Sendiri Sehingga Lahirkan Bayi

Jerantut - Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini terhadap tuduhan melakukan sumbang mahram terhadap kakak kandungnya pada November tahun lepas.

Pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol di dalam kamarnya, namun tiada sebarang pengakuan daripada tertuduh direkodkan.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan itu terhadap kakaknya yang berusia 15 tahun di Lot 2324 Kampung Bukit Kor, Batu Balai di sini pada 12 tengah malam, pada November 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam tahun dan tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.

Remaja itu dikenakan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula 18 Oktober depan.

Bapa tertuduh membayar wang jaminan itu. Pendakwaan dijalankan pegawai pendakwa Insp Arifin Saidun manakala tertuduh diwakili peguam Ibrahim Kamaruddin.

Kes sumbang mahram itu terbongkar apabila mangsa melahirkan seorang bayi lelaki di Hospital Kajang, Selangor pada 12 Ogos lepas dan laporan kes itu dibuat seorang jururawat hospital itu pada 22 Ogos lalu. - Bernama 

 greenboc

Kedah lahirkan ramai karyawan negara

Wartawan Sinar Harian
5 Januari 2013
ALOR SETAR - Kedah antara negeri yang berjaya melahirkan golongan karyawan terkenal negara khususnya dalam bidang kesusasteraan moden tanah air seperti iaitu novel, cerpen, puisi, teater dan kritikan.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan berkata, antara tokoh karyawan ternama kelahiran Kedah adalah Sasterawan Negara (SN) Abdullah Hussain, SN Shahnon Ahmad, Tan Sri Dr Ismail Hussein, Datuk Abdul Halim R, Kassim Ahmad, Mohd Yusof Hasan, Rosmiaty Shaari dan Shaari Isa.

“Ada antara mereka yang telah kembali ke rahmaullah antaranya seperti Affrini Adham, Azizi  Abdullah, Hashim Yasin, Jihaty Abadi, TS Mohd Zahir Ismail.

“Namun, tradisi kecemerlangan bidang ini tetap diteruskan oleh para penulis yang menganggotai badan penulis Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (Asasi), manakala sebahagian daripadanya aktif berkarya dalam portal sastera maya, e-Sastera,” katanya dalam Malam Puisi Puzi Hadi, di Auditorium Kompleks Budaya Negeri, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kedah (JKKNK), baru-baru ini.

Dalam majlis berkenaan, penyair Puzi Hadi memukau penonton dengan persembahan bacaan puisinya iaitu, Bujang, ‘Paleoalam Sungai Batu’, ‘Stop’, ‘Lokomotif’, ‘(B)-Sepak’, Si-Musi-Mu, Sungai’, dan ‘Dot Dot Dot’.

Kehebatan Puzi Hadi sememangnya dikagumi dalam menghasilkan setiap karyanya yang mana penghayatan perlu ada dalam diri setiap masyarakat agar dapat menyelami maksud, mesej dan pengajaran setiap bait-bait ayat yang digunakannya.

Puzi Hadi, berkata, walaupun sudah lama bertapak dalam industri, iaitu sejak tahun 1970an, namun perasaan cintanya pada bidang kesusasteraan masih tersemat kukuh di hati, ia terbukti dengan penglibatan aktif dirinya dalam mendeklamasikan karya hingga kini.

Antara yang turut serta mendeklamasikan sajak adalah, Rejab FI (Perlis), Ahkarim, Dahna dan Ruhie Isma (Kedah), Ibnu Din Assingkiri (Pulau Pinang) dan Malim Ghozali PK (Perak).