Rangka 2 Manusia Ditemui Tertanam Di England


RANGKA dua manusia telah ditemui tertanam di dalam kawasan halaman sebuah rumah di Mansfield, England kelmarin.

Pihak polis Britain yang mengesahkan penemuan itu berkata rangka ditemui di belakang sebuah rumah di kawasan kediaman Blenheim Close, Forest Town.

Polis tiba di tempat kejadian selepas mendapat petunjuk baru berikutan satu kejadian yang didakwa terjadi sekitar tahun 90-an apabila sepasang lekaki dan wanita yang mendiami rumah berkenaan tiba-tiba hilang.

Menurut saksi, mereka juga hidup dalam keadaan yang amat mencurigakan dan aneh.

Sumber polis berkata, rangka itu sudah tertanam dalam tempoh masa yang agak lama.

Seorang  wanita berusia 51 tahun yang tinggal berdekatan, memaklumkan ada sepasang warga tua mendiami rumah berkenaan 15 tahun dulu sebelum mereka tiba-tiba tidak lagi kelihatan.

“Saya ada bertemu dengan seorang lelaki di rumah itu beberapa kali, tetapi tidak pernah ternampak isterinya atau ahli keluarga yang lain,” katanya yang enggan namanya disiarkan.

Menurutnya seperti dilaporan Metro UK, Sejak mula berpindah ke kawasan itu 18 tahun lalu beliau menyedari pasangan berkenaan sudah pun ada tinggal di rumah tersebut.

“Peliknya, mereka tidak pernah ada tetamu yang datang ke rumah mereka, saya tidak pernah nampak sesiapa datang atau pergi dan sesekali tertanya-tanya, apakah yang terjadi pada mereka?” katanya.

Lokasi penemuan rangka itu kini dikawal ketat oleh pihak polis sementara pasukan forensik menjalankan siasatan.

Rankga manusia yang ditemui itu setakat ini belum dikenalpasti identitinya.

Menurut polis, mereka yang mendiami rumah terlibat ketika ini tidak disiasat sebagai terlibat dalam apa-apa jenayah setakat ini.

Menurut polis, mereka memberikan kerjasama yang baik dan faham akan keperluan siasatan.

Wanita Ditemui Mati Tertiarap Di Bangsar


KUALA LUMPUR – Seorang wanita dipercayai rakyat Indonesia ditemui mati di lorong pejalan kaki, berhadapan stesen Petronas di Jalan Bangsar, hari ini.

Mayat wanita yang hanya dikenali sebagai Juhiriyah, 40-an, ditemui dalam keadaan tertiarap oleh orang awam yang melalui kawasan itu tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Muhammad Azlee Abdullah berkata berdasarkan keadaan mayat, polis percaya wanita itu mati sejak tiga hari lepas.

“Polis menemui beg tangan mangsa berhampiran mayat itu,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian hari ini.

Polis meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau rakan atau yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – BERNAMA